Wednesday, May 25, 2011

RENCAH KEHIDUPAN


Ketika di Pulau Pinang baru-baru ini, saya sempat singgah di Penang Road di salah sebuah kedai menjual pelbagai jenis buku dan majalah.  Selesai membeli buku untuk dihadiahkan kepada anak-anak, saya terlihat antara selitan novel-novel berjudul 'Wajah Rahsia'.  Teruja juga melihat novel sendiri berada di rak-rak dan di pamerkan di bahagian yang mudah untuk dilihat.

Alhamdulillah saya berdoa lebih ramai yang mendapatkan novel saya terbitan Pekan Ilmu Publication ini.  Novel berkisar tentang kehidupan seorang Perdana Menteri muda perlu dibaca kerana banyak ilmu kehidupan boleh diperolehi di dalamnya.  Ia adalah hasil pengalaman saya sendiri dan banyak watak dalam novel ini adalah watak sebenar yang telah ditokok tambah oleh saya dari watak yang saya ilhamkan dari orang-orang yang berada di sekeliling saya.

SEKOLAH KEHIDUPAN

Sejak beberapa hari lalu, saya membaca sebuah buku hadiah dari seorang kawan yang baharu saya ketemu berjudul 'Sekolah Kehidupan'.  Kawan saya itu namanya Habin Faisal Mohamed dan orangnya masih muda.  Seorang yang berkarisma, enegetik, kreatif dan penuh semangat dalam berkongsi pengalaman tentang sekolah kehidupan.  Saya tertarik dengan penulisan beliau yang bersahaja dan penuh dengan sindiran yang menyelimuti kehidupan sehari-hari kita.  Antara petikan dalam buku beliau yang boleh saya kongsi di sini ialah katanya ...

...."Kehidupan ini ibarat sebuah sekolah besar yang terbentang luas, di dalamnya penuh dengan sukatan kurikulum pendidikan  kehidupan.  Setiap orang yang menempuhnya perlu melalui proses pembelajaran dengan kurikulum yang ditetapkan. Anda akan diberi ganjaran sekiranya lulus dan begitu juga  sebaliknya."

Saya suka dengan filosofi beliau bahawa kehidupan ini ibarat sebuah kereta api.   Setiap hari kereta api itu penuh dengan pelbagai penumpang.  Kita adalah antara penumpang tersebut.  Sekiranya kita tertinggal kereta api pertama, kita perlu menunggu kereta api seterusnya.  Begitulah seterusnya.  Kereta api tersebut akan terus bergerak sekalipun tanpa kehadiran kita.

Semalam buat kali keduanya, saya, suami dan kawan-kawan bertemu sekali lagi dengan saudara Habin Faisal Mohamed serta kawannya Dr Wan.  Mendengar beliau berceloteh selama tiga jam tidak langsung memenatkan malah mengundang lebih banyak ilmu tentang kehidupan.  Alhamdulillah segala yang berlaku dalam kehidupan saya kini sebenarnya diundang oleh minda  tanpa saya sedar.  Itulah kuasa minda yang tidak ramai dalam kalangan kita menggunakannya.  Insya-Allah banyak kelas ilmu bakal dilaksanakan selepas ini untuk berkongsi dengan masyarakat bagi meningkatkan kendiri, kerjaya dan sukses dalam kehidupan.

Sunday, May 22, 2011

Asam Garam Kehidupan

Pagi ini, anak-anak bakal menduduki peperiksaan pertengahan tahun sebelum cuti sekolah bermula pada minggu hadapan.  Sebagai ibu, saya sentiasa membantu anak-anak dalam pelajaran.  Apatah lagi sejak setahun yang lalu, saya sudah punya kebebasan masa bekerja sendiri, maka banyak masa boleh saya atur mengikut diari sendiri.  Anak-anak sudah mula faham kedudukan ibu mereka. 

Adibah, anak sulung saya bakal menduduki peperiksaan UPSR beberapa bulan lagi.  Kelas malam sudah mula mengisi diari Adibah setiap hari kecuali hari Khamis, Sabtu dan Ahad.  Manakala kelas tambahan setiap pagi Sabtu sudah sewajibnya dihadirinya.  Itu tidak termasuk kelas tambahan setiap Isnin dan Selasa selama satu jam selepas waktu kelas biasa.  Saya bersyukur kerana dapat memenuhi setiap keperluan Adibah.  Alhamdulillah suami sangat membantu dalam hal-hal anak-anak.

Adib, anak kedua saya sudah mula menampakkan perubahan.  Dia ibarat abang kepada Adibah dan dua lagi adiknya Adli dan Adam.  Fikirannya lebih matang dari apa yang sering  saya sangkakan.  Pelajarannya sudah menampakkan peningkatan.  Tulisannya sudah lebih baik, bajunya sudah tidak secomot dahulu dan dia sudah pandai menyimpan wang saku sekolah untuk tabungnya sendiri.

Adli anak ketiga saya boleh mengurus diri sendiri dan pelajarannya dengan sangat luar biasa.  Tahap pemikirannya lebih matang dari usianya.  Karektor seorang ketua yang dimilikinya sering digunakan dalam hubungan adik beradiknya dan ketika di sekolah.  Saya sentiasa memberi dorongan kepada dia dalam banyak hal kerana semua  perkara boleh dia uruskan dengan sendirinya tanpa perlu saya fikir terlalu   mendalam.

Adam anak keempat saya sangat memerlukan perhatian.  Dia sentiasa perlukan sokongan saya dan suami serta kakak dan abangnya.  Meskipun anak lelaki saya ini sudah tujuh tahun usianya, dan dia masih lagi bagaikan anak kecil kepada diri saya dan suami.  Manjanya  luar biasa dan dalam banyak hal masih memerlukan sokongan semua.

Kisah tentang anak-anak tidak pernah selesai.  Setiap hari, ada sahaja yang perlu dilakukan untuk mereka.  Minggu ini banyak yang perlu saya lakukan sepanjang hari peperiksaan mereka. 

Novel terkini berjudul DETEKTIF ADIB yang sedang saya siapkan cuma tinggal bab terakhir sebelum saya hantar ke pejabat penerbit.  Saya seharusnya menyiapkan novel itu lebih awal, dan kekangan waktu menyebabkan kisah yang hanya tinggal empat bab itu tidak tercapai dek fikiran ini untuk disiapkan.  Alhamdulillah bab terakhir sedang saya nukilkan dan harapannya novel ini menjadi siulan anak remaja bila di pasarkan nanti.

Sudah agak lama saya tidak duduk mengadap komputer riba ini bagi melontarkan idea dan menulis kisah kehidupan saya yang sangat luar biasa.  Waktu saya banyak dihabiskan mengurusi hal-hal bisnes yang sedang saya jalankan bersama suami dan kehidupan juga banyak perubahan berbanding setahun lalu.  Rupa-rupanya apabila saya mengambil keputusan menamatkan hubungan dengan tempat saya bekerja, mengambil keputusan untuk bekerja sendiri, itulah perubahan paling besar dalam hidup saya.  Pengalaman lebih setahun sejak tidak bekerja makan gaji berjaya saya tempuhi bersama suami dan matlamat menukar status kewangan keluarga sudah semakin dekat sasarannya. 

Apabila saya mengubah kepercayaan tentang kehidupan, saya dapati banyak perkara baik yang hadir dalam hidup saya mengikut apa yang saya inginkan.  Saya semakin selesa dengan apa yang sedang saya  lalui kini.  Apa jua matlamat hidup saya dan suami juga sudah jelas jalannya di hadapan. Saya bersyukur kerana  mendapat terlalu banyak ilmu kehidupan sejak lebih setahun lalu apabila pergaulan saya tidak dibataskan oleh fikiran saya sendiri.  Saya boleh berbincang dengan semua golongan tanpa ada sekatan status dan sebagainya.  Sebetulnya, dengan ilmu manusia itu boleh berubah menjadi lebih baik dari semalam.  Insya-Allah semoga kehidupan ini menyinar terang dan semoga arwah abah dan emak mendapat kebaikan dari apa yang sedang saya usahakan ini.