Sunday, April 29, 2012

Pendapatan

Kehidupan adalah sangat mencabar.  Satu saat kita boleh berada di puncak, satu saat lagi kita sudah berada di bawah.  Kita tidak sedar bagaimana semua ini boleh berlaku.  Dalam hidup, berserah kepada takdir tidak membantu kita untuk bangkit membina hidup semula.

Sejak kebelakangan ini, banyak aktiviti sedang aku lakukan bersama suami.  Perniagaan kecil yang sedang dibina, juga kerja-kerja kreatif yang menunggu tidak berusik sedangkan deadline sudah menunggu, melayan keletah anak-anak dan mertua, semuanya sangat meletihkan tetapi memberikan aku suatu kepuasan yang optimum sehingga tidak tergambar oleh kata-kata. 

Tidak kira ketika kita berada di puncak atau ketika kita jatuh, kita harus sentiasa bersyukur.  Aku percaya segala yang didatangkan pasti ada hikmah yang hendak diberitahu kepada kita.  Aku bersyukur kerana hari ini aku dapat melakukan banyak perkara berbanding suatu waktu dahulu ketika aku masih bekerja makan gaji.

Baru-baru ini ketika aku, suami dan anak-anak ke satu pasaraya hypermarket, aku dapati pasaraya itu begitu sesak.  Bila kutanya kenapa?  Suamiku menjawab, orang sudah dapat gaji.  Setiap troli yang dibawa, penuh dengan pelbagai barangan keperluan harian.  Aku memandang ke sekeliling, nampaknya ramai yang tidak sabar-sabar mahu berbelanja setelah menerima pendapatan masing-masing. Jika dicongak dalam kepala, rasa-rasanya malam itu sahaja hypermarket itu boleh mengumpul pendapatan dari hasil jualan kira-kira RM700,000 atau kurang sedikit.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa elok, setiap daripada kita perlu bijak ketika mengagih-agihkan pendapatan yang diterima.  Jika kita bijak,pendapatan yang sedikit itu, boleh digandakan jika kena gayanya.  Walau bagaimanapun, tepuklah dada, tanyalah diri sendiri.  Ramai di antara kita segera mengagihkan pendapatan membayar liability sedangkan pendapatan yang diperoleh itu boleh dijadikan tiket untuk melihat peluang pelaburan yang menguntungkan dan boleh meningkatkan pendapatan sedia ada. 

Apa pun, setiap daripada kita perlu merancang perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan dalam keadaan ekonomi hari ini.  Nilai wang semakin menyusut.  Harga barang makin meningkat.  Bijak berbelanja dan buat keputusan secara bersama sekiranya kita sudah berumahtangga.  Insya-Allah rumahtangga lebih tenteram dan aman serta diberkati oleh Allah.

God nite.

No comments:

Post a Comment